dinblogspot.com

Khamis, 19 Februari 2009

Pelajar Maahad Darul Anuar bantah kekejaman Israel

Penderitaan umat Islam di Palestin angkara rejim haram Israel turut dikongsi bersama rakyat Kelantan, apabila bantahan terhadap kebiadaban tersebut terus diadakan.
Malam semalam pelajar Maahad Darul Anuar Pulau Melaka menganjurkan program 'Malam Jihad dan Pembebasan Al-Aqsa' diadakan dengan kerjasama Aman Malaysia Cawangan Kelantan.
Program itu dihadiri ribuan penduduk tempatan dan pelajar sekolah terbabit.
Penolong Kanan Maahad Darul Anuar, Ustaz Nik Abdul Rahim Nik Abdul Aziz berkata, program itu diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar tentang keganasan dilakukan rejim Israel di bumi Palestin.
Di samping katanya pelajar digalakkan menjadi penderma kepada saudara di Palestin yang kini sedang menderita.
"Saya berharap pelajar Maahad Darul Anuar seramai 300 orang menjadi pejuang Islam pada suatu hari nanti dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam menghadapi segala pancaroba dunia," katanya.
Guru sekolah berkenaan, Ustaz Che Mohd Fadhli Che Hamid berkata, kekejaman Israel tidak akan terhenti sekiranya umat Islam terus berdiam diri dan lambat laun keseluruhan bumi Palestin akan menjadi milik mereka.
"Saya menyeru adik-adik biar pun kita berada jauh daripada bumi Palestin, namun kita seharusnya menanam sifat kebencian terhadap rejim zionis.
"Kita juga hendaklah sentiasa berdoa supaya saudara kita di sana diberi kekuatan iman atau meninggal sebagai syahid," ujar beliau.
Wakil Aman Malaysia Cawangan Kelantan, Ustaz Abdul Hadi Muhammad berkata, program seperti itu seharusnya diadakan di mana sahaja bagi menzahirkan bantahan umat Islam terhadap kekejaman rejim Yahudi.
Sempena program tersebut sejumlah RM1,424.60 bersama sebentuk subang dan gelang emas berjaya dikumpul hasil sumbangan pelajar dan ibu bapa. Wang tersebut akan diserahkan kepada Aman Malaysia.
Pelajar dan ibu bapa yang hadir turut meminjak bendera Israel yang diletak di laluan utama masuk ke dewan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan