dinblogspot.com

Khamis, 26 Mac 2009

Sekat rakyat cepatkan Umno berkubur

Umno tidak akan berjaya melakukan perubahan dalaman jika mengambil pendekatan lama yang tidak disenangi masyarakat, termasuk meyekat kebebasan rakyat, kata presidennya.

Ucapan dasar terakhir bertema "Masa Depan dan Survival Parti", Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kedengaran bernada cemas, imbas kembali penglibatan lamanya dalam Umno dan ramuan untuk parti itu mengorak langkah kedepan.

Tidak mengejutkan, beliau mendukung penggantinya Datuk Seri Najib Razak, selain mengucapkan terima kasih kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - yang hadir di depannya - dan memohon maaf atas kegagalan janji reformasinya.

Dalam ucapannya lebih sejam yang bermula kira-kira jam 10 pagi, Abdullah menyebut lima faktor yang menjadi punca penolakan rakyat terhadap Umno:

bullet buttonsetelah selesa kerana lama berada di tampuk kuasa, sebahagian pemimpin Umno tidak seakrab dahulu dengan rakyat jelata yang selama hari ini menjadi akar kekuatan Umno.

bullet buttontumpuan yang kurang seimbang kepada masyarakat luar bandar dalam keghairahan dan hasrat untuk mencapai status negara maju di peringkat global.

bullet buttonprogram-program politik Umno yang kurang berkesan mendampingi generasi muda, selain dari apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan.

bullet buttonperbalahan berpanjangan sesama sendiri terutama ketika berebut jawatan di dalam parti telah meruntuhkan semangat kekeluargaan di kalangan ahli.

bullet buttonsifat mengutamakan kebendaan hingga menjadikan sebahagian ahli bersifat tamak – bersifat haloba, lalu memberikan persepsi negatif bahawa Umno adalah parti yang korup.

"Faktor-faktor dalaman tersebut telah memberikan modal besar kepada musuh-musuh Umno untuk memburukkan Umno. Ditambah pula dengan sikap dan gelagat watak-watak Melayu tertentu yang mengangkat bola tanggung hingga memberi ruang seluas-luasnya untuk orang-orang Melayu dan bumiputera boleh dilibas atau dicerca sewenang-wenangnya.

"Akhirnya susulan dari gerakan tersusun menyerang dan mencalarkan Umno secara berterusan, minda warga berjaya diracun, hingga sampai ke tahap warga pada hari ini, tanpa penilaian rasional dan objektif begitu mudah mempercayai dan menerima setiap fitnah yang dilemparkan kepada Umno," tambahnya.

Dengan nada amaran, bimbang Umno dan BN akan terkubur dalam pilihanraya umum akan datang, Abdullah menggesa semua peringkat kepemimpinan parti itu agar segera berubah dan bukannya mengulang langkah "order lama" yang mengekang kebebasan rakyat.

"Ada juga yang masih berpendirian bahawa kita tidak perlu melakukan perubahan. Mereka mempercayai bahawa Umno akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama - kepada
order lama, dengan menyekat kebebasan warga - dengan menghalang warga dari menyuarakan kritikan.

"Mereka berpandangan bahawa Umno itu boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu, dan memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan tertentu," katanya.

"Jika laluan lama itu yang dipilih, saya berpandangan bahawa kita telah memilih laluan yang salah; laluan yang membawa kita ke belakang. Saya bimbang laluan tersebut akan lebih mempercepatkan berakhirnya talian hayat Umno.

"Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti Umno yang kita kasihi ini."

Sesi perbahasan usul-usul juga menarik perhatian ramai apabila perwakilan - secara tradisi - mengajukan kritikan dengan pantun atau seloka, nada keras dan lawak jenaka.

Ramai peminat politik menantikan keputusan persaingan sengit dua penjuru jawatan timbalan presiden antara Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Selain itu, perebutan lapan calon untuk tiga kerusi naib presiden dan 25 kerusi ahli Majlis Tertinggi (MT) mencuri fokus masyarakat.

Selain jawatan-jawatan penting itu, turut dipertaruhkan adalah jawatan pengerusi tetap dan timbalannya.

Keputusan rasmi dijangka dapat diketahui sekitar jam 10 malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan